Wednesday, 15 December 2010

☺Hari Tasu'a' & Asyura

Copied & Pasted


Puasa hari 'Asyura', Tasu'a' dan kesebelas Muharram Puasa hari 'Asyura' ialah puasa sunat pada hari kesepuluh bulan Muharram. Diriwayatkan daripada Mu'awiyah bin Abu Sufyan Radhiallahu 'anhuma berkata, aku mendengar Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda maksudnya: 

"Ini adalah hari 'Asyura' dan tidak diwajibkan ke atas kamu berpuasa sedangkan aku berpuasa. Maka barangsiapa yang hendak berpuasa maka berpuasalah dia dan barangsiapa mahu (tidak berpuasa) maka berbukalah dia (boleh tidak berpuasa)." (Hadits riwayat Bukhari)

Hikmat berpuasa pada hari 'Asyura' sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas Radhiallahu 'anhuma berkata maksudnya: 

"(Tatkala) Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam sampai di Madinah, baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari 'Asyura'. Baginda bersabda: "Apakah ini?" Mereka menjawab: "Hari yang baik, ini adalah hari yang mana Allah menyelamatkan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa berpuasa pada hari itu" 

Nabi bersabda: "Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu" Lalu Baginda berpuasa dan memerintahkan berpuasa (pada hari itu.)" (Hadits riwayat Bukhari) 

Kelebihan berpuasa di hari 'Asyura' sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah Al-Anshari berkata maksudnya: 

"Dan ditanya (Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam) tentang berpuasa pada hari 'Asyura'? Maka Baginda bersabda: "Ia menebus dosa setahun yang telah lalu." (Hadits riwayat Muslim)

Adalah disunatkan juga di samping berpuasa pada hari 'Asyura', berpuasa pada hari Tasu'a' iaitu hari yang kesembilan bulan Muharram berdasarkan riwayat daripada Abdullah bin Abbas Radhiallahu 'anhuma berkata maksudnya: 

"Dahulu, ketika Rasulullah saw berpuasa pada hari 'Asyura' dan Baginda memerintahkan (para sahabatnya) untuk melakukan puasa itu, mereka berkata: "Wahai Rasulullah! (Bukankah) sesungguhnya hari 'Asyura' itu hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani?" 

Maka Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Apabila pada tahun yang akan datang, insya Allah kita akan berpuasa pada hari yang kesembilan"

Berkata Abdullah bin Abbas: "Belum sempat menjelang tahun hadapan, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam telah pun wafat." (Hadits riwayat Muslim) 

Para ulama menyebutkan bahawa hikmat disunatkan berpuasa pada hari Tasu'a' (sembilan Muharram) itu dari berbagai-bagai aspek: 

1. Bagi menyalahi atau membezakan amalan orang-orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari 'Asyura' (Sepuluh Muharram) sahaja. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas Radhiallahu 'anhu berkata, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: 

Maksudnya: "Berpuasalah kamu pada hari 'Asyura' dan buatlah perbezaan padanya (dari) orang Yahudi (dengan) berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya."
(Hadits riwayat Ahmad) 

2. Bagi maksud berhati-hati berpuasa pada hari 'Asyura' kerana kemungkinan berlaku kesilapan kekurangan dalam pengiraan anak bulan. Maka dengan itu hari kesembilan Muharram itu dalam pengiraan adalah hari yang kesepuluh Muharram yang sebenarnya. 

3. Bagi maksud menyambung puasa hari 'Asyura' dengan satu hari puasa yang lain kerana tegahan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam berpuasa satu hari satu-satunya sahaja seperti berpuasa pada hari Jumaat. Walaupun begitu, tidaklah menjadi apa-apa jika hanya berpuasa sehari sahaja pada hari 'Asyura'. ( I'anah Ath-Thalibin 2/301) 

Oleh kerana itu disunatkan juga, jika berpuasa pada hari 'Asyura' tanpa berpuasa pada hari Tasu'a', supaya berpuasa pada hari kesebelas Muharram. Bahkan Imam Syafi'e Rahimahullahu Ta'ala menyebutkan di dalam Kitab Al-Umm dan Al-Imla' disunatkan berpuasa tiga hari tersebut iaitu hari kesembilan (Tasu'a'), kesepuluh ('Asyura') dan kesebelas bulan Muharram.


Selamat beribadah semua.

Saturday, 11 December 2010

☺Life is :)



teruskan berusaha, teruskan berjuang. selamat bermujahadah :D

 
Template by suckmylolly.com - header candies by Tayoindesign